JOHOR BAHRU - Lima kertas kerja membabitkan isu kos sara hidup rakyat akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Selasa ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat khas yang dianggotai 15 kementerian itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Lima kertas kerja tersebut penting bagi memastikan kerajaan dapat menangani isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat pada masa kini.
"Antara kementerian yang akan membentangkan kertas kerja adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, KPDN dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
"Apatah lagi ia menjadi antara misi utama Perdana Menteri yang beriltizam untuk bersama-sama atasi isu kos sara hidup," katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas hadir Majlis Khatan Perdana di Masjid Al- Mizan Kempas di sini pada Sabtu.
Pada mesyuarat 27 November lalu, Anwar mengarahkan NACCOL untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, KPDN juga akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan selepas mesyuarat khas NACCOL pada Selasa ini.
"Pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan diadakan Selasa ini, bukan semalam (Jumaat).
"Cukup penting bagi kedua-dua kementerian bekerjasama supaya rantaian bekalan makanan tidak terganggu dan berjalan lancar.
"Selepas mesyuarat dua kementerian ini, ia akan diteruskan dengan memanggil pemain industri ayam telur bagi mendapatkan penjelasan sebenarnya keadaan gangguan di peringkat pasaran terutama telur ayam gred biasa dan minyak masak bersubsidi," katanya.