25 lokasi dikenal pasti 'hotspot' banjir di ibu kota

Iklan
Azmi (kanan) mengadakan perbincangan ketika program simulasi banjir di pusat operasi bergerak, di ibu negara pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 25 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekiranya berlaku hujan lebat di ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, jumlah lokasi itu mungkin bertambah jika berlaku banjir kilat.

Iklan
Iklan

"Punca banjir kilat itu berkemungkinan akibat longkang tersumbat," katanya pada sidang akhbar selepas hadir dalam program simulasi banjir di tiga lokasi iaitu Kampung Periuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah dan Dewan Sultan Sulaiman, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Iklan

"Kita berharap agensi berkaitan dapat bekerjasama dalam menambah baik infrastruktur seperti membersihkan longkang tersumbat.

"Jika berlaku banjir kilat, anggota polis juga akan membantu dalam mengambil tindakan pantas bagi memastikan aliran air lancar di jalan raya yang dinaiki air,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan Azmi berkata, tujuan program simulasi yang dilaksanakan adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman, kepakaran dan keupayaan setiap agensi kerajaan terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam aspek pengurusan bencana.

"Ia merangkumi elemen sebelum, semasa dan selepas bencana, ia termasuk ilmu pengetahuan dan latihan mencukupi supaya pasukan penyelamat dapat mengatur gerak kerja semasa berlaku bencana," ujarnya.

Beliau berkata, seramai 350 anggota dan pegawai dari 23 buah agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan terlibat dalam program simulasi itu.

"Inisiatif sebegini amat penting dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pengurusan bencana di Wilayah Persekutuan berada pada tahap maksimum," ujarnya.