Harimau Malaya baharu ada karakter

Iklan
Pemain Harimau Malaya selepas perlawanan persahabatan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Football Association of Malaysia

KAPTEN Harimau Malaya, Faisal Halim memuji persembahan cemerlang pemain baharu negara ketika menewaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain sayap sensasi Harimau Malaya yang meledak dua gol pada pertembungan itu mengakui gembira dengan semangat juang dipamerkan rakan sepasukan berbanding dua jaringannya.

Iklan
Iklan

"...dan jurulatih Kim (Kim Pan-gon) jalankan tanggungjawab yang sukar sebenarnya apabila panggil kebanyakan pemain tidak pernah bersama sebelum ini tetapi mereka (pemain) buktikan layak (ada) dalam skuad, itu saya bangga,” katanya selepas perlawanan itu.

Selain meledak dua gol, pemain Terengganu FC berusia 24 tahun itu turut membantu pemain naturalisasi Lee Tuck menjaringkan gol pertamanya pada penampilan sulung bersama pasukan negara sebelum Stuart Wilkin turut mengikuti jejak sama dengan jaringan pada penghujung aksi.

Iklan

Pemain berusia 34 tahun yang juga penyerang Sri Pahang FC menyifatkan kemenangan ke atas Kemboja sebagai permulaan baik buat dirinya dalam skuad kebangsaan.

"Ia agak sukar kerana saya tidak beraksi selama 11 bulan dalam perlawanan bola sepak. Saya cuma bermain 90 minit dalam Piala Malaysia (pusingan 16). Jadi, ia satu cabaran sukar untuk sedia dari segi mental dan fizikal bagi mendapatkan kecergasan tapi saya sudah lakukan yang terbaik untuk mempersiapkan badan dan minda saya," katanya.

Iklan

Sementara itu, Wilkin berkata, kejayaan diraih malam tadi adalah petanda positif dalam usaha pemain memenuhi tuntutan Pan-gon menjelang Piala AFF pada 20 Disember hingga 16 Januari depan.

Pemain tengah Sabah FC berusia 24 tahun itu turut melahirkan rasa gembira kerana menjaringkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa sekali gus menyumbang kepada kejayaan skuad negara.

"Sungguh menakjubkan, ia bagai mimpi dapat menjaringkan gol dalam penampilan pertama. Saya sangat bangga dapat mewakili negara dan bermain dalam perlawanan ini, saya harap terus dapat peluang lagi,” kata pemain kelahiran England itu.

Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada 21 Disember ini.

Malaysia dijadualkan berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari) dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.