Ronald kekal bersama Bersatu

Iklan
Ronald Kiandee - Foto Bernama
KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan pendirian untuk kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pendiriannya itu menjadikan beliau yang juga Naib Presiden parti itu sebagai satu-satunya wakil tunggal Bersatu di Sabah.

Menurut Ronald, pemimpin Bersatu Sabah telah mengadakan perjumpaan pada Jumaat bagaimanapun, beliau tidak menerima jemputan atau dimaklumkan tentang perjumpaan tersebut.

Katanya lagi, tindakan yang diambil oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu tidak akan menyebabkan Bersatu di Sabah terkubur dan ia akan kekal.

"Saya tahu sesetengah ketua bahagian mempunyai pandangan berbeza susulan keputusan itu. Itu merupakan hak mereka untuk memilih parti yang ingin disertai demi kelangsungan politik mereka.

"Pemimpin Bersatu berhak untuk buat keputusan. Bersatu di Sabah akan kekal di sini dan kita akan membina semula parti ini," katanya.

Ronald yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas tidak dicalonkan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.