PENGENDALI Portugal, Fernando Santos menegaskan tidak menyesal meletakkan Cristiano Ronaldo di di bangku simpanan daripada kesebelasan utama ketika kekalahan kepada Maghribi dalam suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama.
Setelah menyisihkan Ronaldo untuk kemenangan 6-1 ke atas Switzerland dalam pusingan 16 terbaik, Santos tetap dengan pasukan yang sama di sebalik melihat Goncalo Ramos penjaring hatrik sebagai pengganti terbaik kepada bekas peledak Manchester United itu.
Namun apabila Youssef En-Nesyri meletakkan Maghribi di depan pada separuh masa pertama, Santos bingkas menghantar Ronaldo pada awal babak kedua, namun kemasukan pemain berusia 37 tahun itu tidak banyak memberi kesan menyaksikan ikon bola sepak Portugal itu keluar dari padang sambil menangis pada penghujung kekalahan 1-0, peluang terakhirnya untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia.
Di sebalik itu, Santos tetap mempertahankan pemilihan kesebelasan utama.
"Tiada penyesalan. Saya percaya ini adalah pasukan yang bermain dengan sangat baik menentang Switzerland. Cristiano adalah pemain yang hebat. Dia datang apabila kami rasa itu perlu.”
Kemunculan Ronaldo adalah penampilan antarabangsa yang ke-196, menyamai rekod dunia pemain dari Kuwait, Badr Al-Mutawa.
Pada masa sama Santos mengakui kecewa apabila Portugal gagal melepasi pusingan suku akhir Qatar 2022 setelah dikejutkan Maghribi.
Bagaimanapun beliau memuji semangat juang para pemainnya seperti Joao Felix dan Pepe yang tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol.
"Sudah tentu para pemain kami tertekan, mereka kecewa...
"Kami lebih kecewa apabila mengetahui pasukan dibarisi para pemain yang mahir dan berkualiti gagal menghadiahkan kegembiraan kepada rakyat Portugal.
"Kami tahu cabaran yang bakal dihadapi, terutamanya dari segi strategi bertahan. Kami cuba menyukarkan perlawanan untuk lawan kami tetapi kami tidak berjaya.
"Jelas sekali kami juga perlu memberi kredit kepada para pemain Maghribi. Saya rasa tidak adil untuk kami kalah tetapi itulah bola sepak," katanya.