2022 tahun mencabar untuk sektor tenaga, makanan

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - 2022, tahun mencabar berikutan krisis tenaga dan makanan yang semakin meruncing sehingga menaikkan kadar inflasi global dan membawa kepada risiko kemelesetan.

Dua krisis global saling kait-mengait itu ditakrifkan oleh 'segitiga krisis' iaitu perubahan iklim, pandemik Covid-19 serta ketidakpastian serta konflik akibat peperangan Rusia-Ukraine.

Iklan
Iklan

Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia untuk Oktober 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan inflasi global meningkat kepada 8.8 peratus tahun ini, hampir dua kali ganda daripada 4.7 peratus yang dicatatkan pada 2021 tetapi menurun kepada 6.5 peratus pada 2023 dan kepada 4.1 peratus menjelang 2024.

Ketidakpastian dalam keselamatan makanan disebabkan oleh harga tenaga yang lebih tinggi semakin meningkat kebanyakan negara membangun dengan beban paling berat kepada isi rumah yang lebih miskin di mana bahagian pendapatan lebih besar dibelanjakan untuk tenaga dan makanan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa dalam Tinjauan Tenaga Dunia 2022.

Iklan

"Kira-kira 75 juta orang yang mendapat akses kepada elektrik baru-baru ini berkemungkinan tidak mampu untuk membayarnya, ini bermakna buat pertama kali sejak kami mula menjejakinya, jumlah orang di seluruh dunia yang tidak mempunyai akses elektrik telah mula meningkat," katanya agensi itu.

Industri tenaga

Iklan

Industri tenaga seperti semua industri lain beroperasi dalam persekitaran yang tidak menentu. Di peringkat global, harga minyak meningkat walaupun sebelum berlaku kenaikan itu disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mempunyai implikasi yang luas untuk pasaran tenaga memandangkan peranan Moscow sebagai pengeluar gas asli kedua terbesar di dunia dan salah satu negara pengeluar minyak terbesar di dunia.

Harga minyak mentah Brent melonjak ketika awal pencerobohan Moscow ke atas Ukraine daripada sekitar AS$76 setong pada awal Januari 2022 kepada lebih AS$110 setong pada 4 Mac, kali pertama ia berlaku sejak 2014.

Bagaimanapun, pencerobohan itu telah mencetuskan beberapa siri sekatan yang dikenakan oleh kuasa besar seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), antaranya melibatkan sekatan terhadap industri kewangan Rusia, kawalan eksport serta eksport arang batu dan minyaknya.

Rakan Pengurusan SPI Management, Stephen Innes berkata, memandangkan kekurangan bekalan di Eropah menyebabkan semua orang bimbang terhadap krisis tenaga tetapi cuaca lebih panas daripada yang dijangkakan dan keazaman EU yang mantap untuk mengisi tangki simpanan telah meredakan kebimbangan tersebut.

Namun dengan dasar mengehad harga dan ketidakpastian mengenai tindakan balas Rusia terhadap had harga gas dan minyak, Eropah masih menghadapi cabaran sekiranya harga gas melambung tinggi sekali lagi, katanya.

"Tetapi kami cenderung ke arah keseimbangan yang sepatutnya memastikan pembekal dan pengguna berpuas hati. Namun, risiko utama bagi pengguna minyak dan gas ialah kita akan berada dalam keadaan peperangan berlanjutan,” kata Innes kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran minyak tidak terkesan oleh peperangan tersebut tetapi ia akan mempercepatkan kadar peralihan bahan api solar dan bukan fosil lain.

"Tetapi kita akan memasuki kemelesetan global tahun depan yang sepatutnya menjejaskan pasaran komoditi. Dengan mengandaikan status quo di Eropah Timur, harga minyak akan didagangkan antara AS$75 dan AS$95 tahun depan kerana pembukaan semula China akan diimbangi oleh kemelesetan global.

"Sebarang perubahan yang berlaku di Eropah Timur, kedua-dua harga minyak dan gas akan didagangkan lebih rendah," kata Innes.

Pada awal Oktober, Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengumumkan bahawa pakatan itu akan mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari pada bulan November, pengurangan terbesar sejak pandemik bermula.

Pengurangan itu bersamaan dengan kira-kira 2.0 peratus permintaan minyak global.

Pada 4 Disember, OPEC memutuskan untuk mengekalkan pengurangan pengeluaran berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi dan pasaran minyak global.

Harga arang batu melonjak

Arang batu sudah lama diselubungi kontroversi. Murah untuk dilombong, mudah diangkut dan mudah dibakar, ia memacu dunia beralih ke zaman perindustrian dan pada masa yang sama menyebabkan pencemaran udara.

Perang Ukraine telah mendorong EU untuk menimbang semula bekalan tenaganya terutamanya untuk musim sejuk yang akan datang dan permintaan juga disokong tahun ini dalam persekitaran peningkatan harga gas asli, ia menggalakkan peralihan daripada gas kepada arang batu di kebanyakan negara lain serta pertumbuhan ekonomi di India.

Faktor itu telah menyebabkan harga arang batu melonjak, pada 6 September, arang batu yang dhantar ke pelabuhan Newcastle, Australia merekodkan paras tertinggi, berharga AS$436.71 satu tan pada hari Jumaat.

Data daripada firma penyelidikan Wood Mackenzie menunjukkan bahagian Rusia dalam import gas asli telah jatuh kepada hanya 9.0 peratus pada Oktober tahun ini berbanding 36 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, import EU minyak mentah Rusia telah jatuh sebanyak 33 peratus menjelang larangan yang akan berkuat kuasa pada Disember, kata Agensi Tenaga Antarabangsa.

Di Eropah, komoditi itu diperlukan untuk menggantikan gas Rusia dalam persekitaran pengeluaran yang lebih rendah daripada tenaga nuklear dan hidro manakala kemarau di China pada Julai dan Ogos telah menjejaskan empangan jana kuasa hidro negara itu dan menyebabkan lonjakan penggunaan arang batu untuk menanganinya.

Sementara itu di AS, loji jana kuasa arang batu masih beroperasi dan pengeluaran bahan api itu akan meningkat sebanyak 3.5 peratus tahun ini apabila pelombong berusaha untuk memenuhi permintaan yang meningkat dari seluruh dunia dan mengambil kesempatan daripada harga tinggi tersebut. - Bernama