Mangsa banjir di Rantau Panjang meningkat mendadak

Iklan
Mangsa banjir di Kampung Kusar, Rantau Panjang berpindah ke PPS.

KOTA BHARU - Mangsa banjir di daerah Rantau Panjang bertambah secara mendadak kepada 519 individu daripada 168 keluarga pada Ahad.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu melibatkan 36 warga emas, 14 bayi dan lima orang kurang upaya (OKU) yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu setakat jam 12.44 tengah hari.

Iklan
Iklan

PPS yang dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) To’Deh, Putat Tujoh dan SK Kubang Kual.

Sebelum ini, hanya 37 mangsa daripada 10 keluarga di daerah itu dipindahkan ke PPS.

Iklan

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Kelantan, Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, pasukan itu dalam proses menyelamat dan memindahkan enam keluarga di Kampung Kusar ke PPS Gual Periuk, Rantau Panjang pada pagi Ahad.

"Logistik yang digunakan termasuk sebuah lori lima tan dan dua bot,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk yang berisiko dan terjejas banjir memberi kerjasama kepada pasukan penyelamat selain patuh terhadap arahan semasa.

"Penduduk diingatkan supaya tidak mengambil sikap terlalu yakin bahawa kawasan masih selamat kerana dalam situasi banjir sekarang sukar untuk diramal.

"Jika diminta untuk berpindah, saya mohon ambil tindakan segera agar proses menyelamat dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat kepada 9.66 meter (m) melepasi paras bahaya pada pagi Ahad berbanding 9.34 m pada hari sebelumnya.

Bacaan itu berdasarkan aplikasi MyPublic Infobanjir yang dikemas kini pada jam 12.45 tengah hari Ahad.

Graf hujan dan aras air di sungai itu juga menunjukkan trend peningkatan dengan jumlah hujan pada tempoh sama 26.5 milimeter.