Kerajaan Johor, persekutuan kaji bersama dasar MM2H

Iklan
Onn Hafiz pada sesi penggulungan Sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI - Pelaksanaan dasar berkaitan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan dikaji semula dalam fokus menyelesaikan isu kediaman tidak terjual di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan dasar berkaitan MM2H.

Iklan
Iklan

Katanya, enam perkara berhubung perumahan menjadi fokus iaitu rumah mampu milik, program perumahan negeri, dasar perumahan, rejuvensi rumah pangsa negeri, setinggan sifar Johor 2035 dan penyelesaian isu hartanah tidak terjual.

"Berhubung isu kediaman tidak terjual, kerajaan negeri telah menganalisis data yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mengenai hartanah tidak terjual di Johor.

Iklan

"Namun, data-data yang dikeluarkan masih perlu diperincikan agar penyelesaian boleh dibuat secara tuntas. Justeru, kerajaan negeri akan membentuk task force melibatkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri ( BPEN), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), PlanMalaysia dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Ahad.

Iklan

Pada 9 Disember lalu, kerajaan negeri mahu kerajaan persekutuan menghidupkan semula MM2H bagi mengatasi isu lambakan perumahan mewah tidak terjual di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata program MM2H itu adalah penyelesaian yang dilihat mampu membuka ruang kepada peserta program itu membeli rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan bertitah, kerajaan perlu menyegerakan semakan semula terhadap syarat ketat program berkenaan yang ditetapkan berikutan Johor adalah antara destinasi utama pelaburan asing, selain antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.