Kim Swee hargai dicalon sebagai jurulatih terbaik ABK22

Iklan
Kim Swee membimbing Sabah FC meraih slot Piala AFC 2023 selepas menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga. - Foto Facebook MFL

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui persaingan yang hebat untuk memburu gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) selepas tercalon dalam kelompok tiga terbaik pada musim ini.

Selain Kim Swee, dua lagi calon adalah pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak dan Nafuzi Zain selaku jurulatih Terengganu FC (TFC).

Iklan
Iklan

Kim Swee turut menganggap pencalonan itu sebagai satu penghargaan apatah lagi ia merupakan tahun pertama beliau diberi kepercayaan membimbing kelab di pentas Liga Malaysia.

Sudah pasti, bekas pengendali kebangsaan turut menghormati dua calon lain berdasarkan pencapaian mereka yang cukup memberangsangkan dalam mengendalikan KL City dan TFC pada musim 2022.

Iklan

"Ini tahun pertama saya sebagai jurulatih Sabah. Saya juga percaya banyak lagi yang kami boleh baiki.

"Tidak kira menang atau kalah, saya tetap bersyukur atas pencalonan ini dan semestinya berbangga untuk bersaing dengan dua lagi jurulatih (Bojan Hodan dan Nafuzi) yang telah meraih kejayaan bersama pasukan mereka,” katanya.

Iklan

Nafuzi pula menganggap pencalonan itu adalah hasil usaha keras satu pasukan untuknya merebut gelaran Jurulatih Terbaik.

Baginya, Hodak yang meraih anugerah tersebut pada musim lalu turut mempunyai peluang untuk mempertahankan gelarannya selain Kim Swee yang juga melakukan tugas cukup baik membimbing Sabah mencapai kedudukan tiga terbaik Liga Super.

"Saya nak katakan pencalonan ini bukan disebabkan usaha saya seorang, tetapi melibatkan kerja keras daripada semua pemain juga.

"Saya anggap pencalonan ini satu penghargaan dan sudah tentu peluang untuk menang bukan mudah kerana kita tahu kedua jurulatih itu juga mempunyai pengalaman dan nama yang besar.

"Dapat tercalon kali ini pun saya sudah bersyukur apatah lagi dicalonkan bersama-sama calon lain yang cukup hebat,” katanya.

Pada musim lalu, Hodak meraih Anugerah Jurulatih Terbaik bersaing dengan Nafuzi dan Benjamin Mora (JDT) selepas beliau berjaya membawa pasukan KL City memenangi trofi Piala Malaysia 2021.

ABK22 akan berlangsung secara maya pada Khamis, 15 Disember bermula jam 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dipertandingkan ialah dan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.