13 leka masak air ketum antara 58 individu ditahan

Iklan
Kamarul Zaman menyampaikan plak cenderahati kepada Pengurus Felda Adela, Alias Mohamad pada Program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Daerah Kota Tinggi di Dewan Semai Bakti , Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi, pada Ahad. - Foto Bernama

KOTA TINGGI - Polis menahan 58 individu atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 13 orang yang sedang leka memasak air ketum dalam satu operasi khas di sekitar kawasan Felda di sini, sejak Sabtu hingga pagi Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir 7 pagi Ahad melibatkan empat kawasan Felda dan sebuah kawasan perumahan dengan 63 orang diperiksa.

Iklan
Iklan

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 55 lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun.

"Ada yang kita tahan, seramai 13 orang sedang leka memasak air ketum di bawah khemah macam kenduri. Mereka beri alasan nak minum (air ketum) sebab perlukan tenaga untuk bekerja," katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Ketua Polis Johor bersama warga Felda Kota Tinggi di Felda Adela di sini, pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Superintendan Kumar dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

Kamarul Zaman berkata, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif terhadap dadah manakala 41 daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dengan seorang berstatus orang yang dikehendaki polis.

Iklan

Sementara itu, Kamarul Zaman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerima laporan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu pada 11.30 malam semalam berkaitan akaun aplikasi Telegram yang dipercayai digodam ‘scammer’.

"Pihak polis menerima satu laporan daripada Dr Aman tentang akaun Telegram yang digodam serta mesej yang dihantar meminta wang sebanyak RM2,000 menerusi akaun itu.

"Kita akan siasat perkara ini, jika ada mangsa yang mempunyai maklumat boleh tampil membuat laporan," katanya mengulas mengenai kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hari ini supaya orang ramai tidak terpedaya dengan mesej meminta wang dengan menggunakan nama Dr Aman. - Bernama