SHAH ALAM - Memasang impian menjadi penulis sejak bergelar ‘pelatih’ di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka, Muhammad Izzad Daniel Abdullah kini mampu tersenyum dengan kejayaannya menghasilkan buku bertajuk Peluang Kedua.
Luah pemuda berusia 23 tahun itu, ilham untuk menghasilkan karya pertamanya itu timbul selepas melihat belia pada hari ini begitu seronok melakukan kesalahan, tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh menimpa mereka.
Justeru, dia berhasrat untuk menimbulkan kesedaran kepada golongan berkenaan bahawa jenayah bukanlah satu lawak jenaka.
"Menerusi buku ini, saya ingin berkongsi pengalaman hidup sebelum, semasa dan selepas bergelar pesalah juvana.
"Selain itu, saya turut memuatkan beberapa tips untuk berhenti daripada melakukan gejala yang tidak sihat.
"Saya berharap agar buku Peluang Kedua ini dapat memberi semangat kepada individu yang pernah melalui hari-hari gelap seperti saya untuk bangkit daripada kisah silam,” katanya ketika Majlis Pelancaran Buku Peluang Kedua pada Ahad.
Buku terbitan Karya Bestari Grup Buku Karangkraf itu dilancarkan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Jabatan Penjara Malaysia, Ajidin Salleh.
Dalam pada itu, kongsi Muhammad Izzad, impiannya untuk menjadi seorang penulis bermula sejak dia terpaksa dimasukkan ke sekolah itu pada tahun 2016.
"Di Henry Gurney, saya banyak meluangkan masa dengan membaca buku, yang paling saya ingat karya daripada Dr Iskandar Al Haj, penulisan beliau membuatkan saya bercita-cita menjadi seorang penulis,” jelasnya.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut berharap agar bekas pesalah juvana di luar sana diberi peluang kedua untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Bagaimanapun dia mengakui, persepsi orang awam sebenarnya berbalik kepada tingkah laku yang ditonjolkan oleh golongan itu sendiri.
"Bagi saya, kami sendiri yang tentukan persepsi masyarakat. Jika kita mahu mereka memandang kita secara positif, lakukan perkara yang positif.
"Jika masyarakat memandang dengan negatif, itu kerana kita sendiri yang melakukan perkara negatif.
"Jadi untuk mendapatkan tindak balas positif daripada masyarakat, kita perlu terus lakukan perkara yang membawa ke arah yang positif,” ujarnya.