PETALING JAYA - Kepimpinan UMNO akan menerima apa sahaja usul yang dilihat berupaya memperkukuhkan parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada saranan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun, beliau menganggap perkara yang disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos itu sebagai pendapat peribadinya sahaja.
"Yang lebih penting kita dapat merapatkan saf dalam kalangan kita setelah kita terpukul dengan kuatnya dalam PRU15 lalu,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) di sini pada Ahad.
Jamal dalam satu kenyataan pada Ahad menyarankan supaya usul dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.
Beliau berkata, langkah itu diambil kerana UMNO masih lagi dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan terdapat perbincangan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Katanya, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Khamis juga tidak menyentuh perkara itu.
Pada 5 Disember lalu, MKT UMNO bersetuju untuk menangguhkan PAU 2022 yang dijadualkan berlangsung hujung Disember ini kepada awal tahun depan.
PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari tahun hadapan kerana tarikh asal bertembung dengan cuti persekolahan.
Pemilihan UMNO kali ini perlu diadakan dalam tempoh kurang enam bulan daripada tarikh PRU15 lalu.