Kian Meng-Pei Jing raih pengalaman berguna

Iklan
Kian Meng (kiri) dan Pei Jing mahu memberi fokus kepada Terbuka Malaysia selepas menamatkan Jelajah Dunia Akhir di peringkat separuh akhir. Foto FB BAM

BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meraih pengalaman berguna di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir biarpun perjuangan tersekat di peringkat separuh akhir di Thailand pada Sabtu.

Ia memberi petanda positif buat pasangan itu yang berjaya melangkah ke separuh akhir berdasarkan prestasi mereka yang semakin meningkat dan baik.

Iklan
Iklan

Kian Meng memberitahu, biarpun terlepas tiket final, mereka memperoleh banyak pengajaran terutama jika berdepan dengan juara dunia tiga kali pasangan, Si Wei-Ya Qiong dari China.

Pendedahan di kejohanan itu mematangkan mereka untuk tampil lebih mantap pada perlawanan akan datang.

Iklan

"Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan di sini. Apa yang penting kami perlu kembali ke gelanggang dan bekerja lebih keras.

"Meskipun kalah, namun saya fikir kami sudah belajar sesuatu yang penting daripada mereka. Saya harap kami boleh memanfaatkannya pada kejohanan akan datang,” katanya.

Iklan

Pada aksi separuh akhir di Arena Nimibutr, Bangkok, pasangan nombor lapan dunia itu akur dengan kehebatan wakil China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong apabila tewas 10-21, 15-21 dalam tempoh 27 minit.

Kian Meng turut berharap mereka boleh mengekalkan rentak konsisten selain sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia 2023 di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula 10 hingga 15 Januari depan.

"Menjelang Terbuka Malaysia, saya harap kami boleh kekalkan prestasi seperti ini dan meraih keputusan lebih baik.

"Pada masa sama, kita juga sudah belajar bagaimana mahu mengekalkan corak permainan jika berdepan pemain seperti Si Wei-Ya Qiong,” katanya.