KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas bersama anak perempuan serta menantunya direman enam hari lagi bermula hari ini kerana dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 77.09 gram di rumahnya di Kampung Tajin, Hulu Terengganu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim, bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dijalankan terhadap suspek, 58, anak perempuan, 30, dan menantunya, 32.
Iklan
Iklan
Terdahulu, kegiatan tiga beranak ini terbongkar selepas kediaman mereka di Kampung Tajin, Hulu Terengganu, diserbu kira-kira jam 7 malam pada 9 April lalu.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan di dalam rumah berjaya menjumpai satu bakul kecil berisi beg warna biru dan kelabu di dalam bilik yang diletakkan di atas lantai di bawah katil.
"Kedua-dua beg yang meragukan itu dirampas sebelum pemeriksaan mendapati ada tiga peket plastik berisi serbuk yang disyaki dadah berserta sebuah alat penimbang.
"Ketiga-tiga beranak berkenaan ditangkap dan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk jalani ujian saringan awal polis serta tindakan selanjutnya," katanya.
Sumber berkata, sebelum ini ketiga-tiga beranak ini sudah ditahan reman 6 hari, namun perintah tahanan reman itu dilanjutkan 6 hari lagi.