SHAH ALAM - Langkah Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said memulakan pelan segera pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai tepat pada masanya.
Penganalisis politik yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai satu langkah reformasi sistem perundangan bagi memastikan sistem pentadbiran negara tidak dimanipulasi oleh elit politik.
Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia juga bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan sistem perundangan negara berfungsi dengan sebaiknya tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk orang politik.
"Seperti yang difahami umum, fungsi Peguam Negara yang antara lain berperanan memberi nasihat perundangan kepada kerajaan selain menjadi Ketua Pendakwa Raya telah mencetuskan situasi yang menjurus kepada berlakunya konflik berkepentingan.
"Hal ini dapat dilihat dalam peruntukan artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan ia harus dipinda sebagai langkah utama ke arah pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya,” katanya kepada Rasuah Busters.
Jelas Hussain, sepertimana yang difahami, Artikel 145(2) mengenai Peguam Negara berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, kabinet atau menteri yang mana dalam erti kata adalah secara dasar tugas Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif.
"Begitu juga, Artikel 145(3) menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mendakwa kes-kes jenayah bagi pihak awam jika ada bukti kukuh.
"Ini bermakna Peguam Negara juga menjalankan peranan sebagai Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau berkata, melalui transformasi peruntukan undang-undang, persepsi atau kebarangkalian wujud pertindihan kepentingan atau campur tangan politik dalam membuat keputusan untuk mendakwa atau tidak individu yang berkepentingan kepada kerajaan mahupun pembangkang, tidak boleh diketepikan dan perlu diambil tindakan jika mempunyai bukti yang kukuh.
Oleh itu, Hussain berpendapat, transformasi pengasingan kuasa ini adalah langkah terbaik dan positif bagi memastikan perjalanan negara bebas daripada politik berkepentingan.