BATU KAWAN - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan menutup sementara lorong tol Plaza A Bandar Cassia di sini untuk latihan simulasi kecemasan pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Faisal Shahbudin berkata, penutupan itu akan dilakukan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Iklan
Iklan
Menurutnya, latihan simulasi itu bertujuan untuk menilai kesiapsiagaan dan tindak balas JKSB, pasukan kecemasan serta agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan di lebuh raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak dijangka kepada pengguna JSAHMS.
"Latihan kecemasan ini akan melibatkan JKSB, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan kontraktor JKSB," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Faisal berkata, sepanjang tempoh itu, pengguna dari Lebuhraya PLUS ke pulau (Bayan Lepas / Batu Maung) akan dilencongkan ke Plaza B Bandar Cassia.
Dalam pada itu, Faisal berkata, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan agar mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas JKSB ketika latihan dijalankan.
Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.