SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Muafakat Nasional (MN) didakwa menerima lebih 10,000 permohonan keahlian selepas dibuka sejak beberapa jam lalu.
Perkara itu dikongsikan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
"Subhanallah... baru beberapa jam keahlian MN dibuka sudah lebih 10,000 permohonan keahlian diterima.
"Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana, anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa dan negara serta cintakan muafakat," katanya.
Annuar berkata, sokongan ditunjukkan itu memberi satu kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang.
"Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baharu untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas.
"Semoga ALLAH SWT memudahkan segala urusan kita seterusnya," ujarnya.
Pada Sabtu, permohonan untuk MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.
Sebelum ini, MN adalah gabungan UMNO dan Pas yang dimeterai pada 14 September 2019 sebagai kerjasama antara dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.
Bagaimanapun, usaha penyatuan ummah itu tidak kesampaian apabila UMNO enggan meneruskan kerjasama susulan tindakan Pas bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).
Annuar antara pemimpin UMNO yang dilihat tidak bersetuju dengan pendirian parti menolak kerjasama itu.
Beliau juga tidak dipilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Selepas digugurkan, beliau mendedahkan telah mendaftarkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama MN dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 September 2019 dengan dirinya sebagai Presiden.
Annuar kemudiannya dipecat UMNO pada Jumaat lalu kerana dilihat suka mengkritik dan mencemuh tindakan parti sendiri.
Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah NGO yang diasaskannya.
Katanya, MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.