SHAH ALAM - Pelaksanaan rangkaian 5G berjaya mencapai sasaran lebih awal daripada tempoh dijadualkan dengan ia dijangka menjangkau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) seluruh negara menjelang Disember 2022, menurut Digital Nasional Berhad (DNB).
Syarikat pembangun rangkaian itu berkata, penyediaan rangkaian itu juga berada di landasan untuk mencapai komitmen 80 peratus liputan dengan lebih pantas atau menjelang 2024.
Menurutnya, liputan 5G itu bakal dapat dicapai oleh 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.
"40 peratus COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini.
"Pengurangan kiraan tapak tersebut adalah berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.
"Sebahagian besar masalah ini telah pun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang,” jelas DNB dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB memaklumkan telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri yang sebelum ini dijadualkan pada tahun 2023 dan seterusnya.
Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, pelaksanaan rangkaian 5G untuk DNB merupakan antara terpantas di dunia kerana pelaksanaannya baru saja dimulakan pada Oktober 2021.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, beliau yakin usaha mempercepatkan pelaksanaan rangkaian kepada sebanyak 80 peratus COPA itu bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang dengan sokongan dan kelulusan diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan.
DNB memaklumkan setakat ini, lima daripada enam Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan iaitu telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka.
"Bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023,” katanya.
5G memacu perubahan dalam perusahaan
DNB berkata, perusahaan di dalam negara akan menjadi penerima manfaat utama hasil daripada pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.
Ujarnya, kesan 5G terhadap produktiviti, kecekapan dan inovasi diunjurkan akan menghasilkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul kira-kira RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi bermula sekarang hingga tahun 2030.
"Sementara itu, perkhidmatan digital yang didayakan 5G akan mewujudkan pelbagai peluang baharu merentasi berbilang industri di Malaysia termasuk tenaga, pembuatan, peruncitan, pembinaan, penjagaan kesihatan, logistik, pertanian dan sebagainya,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut DNB, sesi libat urus dengan pihak industri bersama-sama MNO juga dilakukan dalam melaksanakan penyelesaian rangkaian persendirian itu sebagai cara menyampaikan kes penggunaan dan perkhidmatan berdaya 5G ini.
Antara contoh sesi yang diadakan termasuklah dengan Intel dan Petronas selain beberapa entiti lain di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Pada masa sama, DNB turut menyatakan Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan mengalami pertumbuhan pesat menjelang 2030 berikutan pelaksanaan 5G.
"5G dianggarkan bakal menyumbang RM8.538 bilion kepada KDNK Malaysia pada 2025, dengan senario pertumbuhan tahunan sebanyak 8 peratus,” ujar kenyataan berkenaan.