AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan dengan cara tersendiri apabila melaksanakan Misi T30 Puncak Kinabalu.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, misi membawa bendera logo MPAJ terbesar berukuran 17.8x12.8 meter ke gunung setinggi 4,095 meter itu bakal mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Menurutnya, ekspedisi tersebut membabitkan kerjasama MPAJ dengan Kelab Sukan Kebudayaan dan Kebajikan (KESUKE) MPAJ, Persatuan Kembara Negara dan MBOR.
"Ekspedisi ini dikenali sebagai T30, di mana huruf T membawa maksud tahun dan tawan manakala 30 pula bermaksud 30 peserta serta ulang tahun MPAJ yang ke-30.
"Penyerahan bendera MPAJ sebagai simbolik bermulanya Misi T30 Puncak Kinabalu telah disampaikan oleh Yang Dipertua MPAJ, Fauzi Mohd Yatim kepada Pengarah Jabatan Belia, Masyarakat & Landskap, Khairilazhar Ismail yang merupakan ketua delegasi misi tersebut," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, MPAJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan misi tersebut bagi mempromosikan imej atau logo korporat terbesar di puncak Gunung Kinabalu.
"Seramai 30 peserta termasuk kakitangan MPAJ dari pelbagai jabatan, empat wakil daripada Persatuan Kembara Negara dan dua wakil MBOR bakal menyertai ekspedisi ini.
"Beberapa siri latihan telah diadakan di Bukit Broga, Kemensah dan juga Gunung Angsi sebagai persiapan ke Puncak Gunung Kinabalu," katanya.
Tambahnya, mengikut rancangan, ekspedisi tersebut akan bermula pada 13 sehingga 17 Disember depan.