KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta berurusan ke pejabat-pejabat pasport di luar Lembah Kelang dan kurang sesak bagi urusan permohonan pasport pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan kesesakan luar biasa yang berlaku di pejabat-pejabat pasport sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurutnya, kesesakan ini disebabkan penutupan pejabat-pejabat pasport di seluruh Selangor kerana cuti umum dan cuti persekolahan yang telah bermula.
"Antara pejabat-pejabat pasport berdekatan dan kurang kesesakan yang boleh menjadi alternatif adalah pejabat pasport di Seremban, Melaka, Cameron Highland, Raub, Kuala Langat, Kuala Kubu Bharu, Pengkalan Hulu, Mersing, Kukup dan Kangar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mereka yang tiada keperluan mendesak diminta menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport.
"Selain itu, urusan permohonan pasport turut dapat dibuat di luar waktu puncak dan orang ramai diminta merancang secara awal perjalanan bagi mengelak sebarang kesulitan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir," katanya.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang mengkaji kesesuaian kaedah baharu pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa(PMA) bagi pemohon yang mempunyai keperluan segera.
Menurutnya, kaedah ini bagi mengatasi kesesakan di pejabat pengeluaran pasport Imigresen Malaysia.
"Menerusi kaedah ini, pemohon yang mempunyai bukti untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam masa satu bulan, permohonan akan diproses dalam masa tiga hari atau kurang seperti proses sedia ada.
"Bagi pemohon yang tiada keperluan untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh satu bulan, permohonan mereka akan diproses dalam masa 30 hari bekerja," katanya.
Jelas beliau, kaedah pengeluaran pasport seperti ini diamalkan di negara-negara maju seperti Kanada, Amerika Syarikat dan Australia.