SKUAD Croatia tidak bercadang untuk mengikat bintang Argentina, Lionel Messi semata-mata sebaliknya mahu fokus merantai keseluruhan pasukan itu dalam saingan separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Rabu.
Penyerangnya, Bruno Petkovic berkata, perancangan Croatia adalah untuk menyekat satu pasukan lawan bukan memberi tumpuan khusus kepada seorang pemain sahaja.
"Kami akan menyekat mereka sebagai satu pasukan dan bukannya kawalan secara individu. Argentina bukan hanya sekadar Messi, mereka memiliki ramai pemain hebat. Kami perlu menghalang satu pasukan Argentina,” ujar Petkovic
Croatia memburu tempat ke final buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia selepas tewas kepada Perancis pada 2018.
Mereka menyingkirkan pasukan pilihan Brazil di suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan dengan jaringan penyamaan pada lewat masa tambahan sebelum memenangi penentuan sepakan penalti.
Tanpa pemain yang digantung dan cedera susulan kehadiran semula pemain pertahanan Borna Sosa, Croatia yang dibimbing Zlatko Dalic sudah bersedia dan turun dengan keyakinan tinggi.
Kapten Luka Modric akan memimpin jentera tengah sambil dibantu Mateo Kovacic serta Marcelo Brozovic.
Pemain pertahanan Croatia, Josip Juranovic berkata, mereka merupakan trio berpengaruh dan menjadi nadi penting pasukan.
"Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah. Saya fikir ia tidak dapat diulangi.
"Apabila anda menghantar bola kepada mereka, ia lebih selamat berbanding menyimpan wang di dalam bank,” ujar Juranovic