DI sebalik kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022, pemain ke-12 menjadi 'jantung' Argentina apabila gerombolan penyokong mereka mengubah setiap aksi di Qatar seperti beraksi di laman sendiri.
Gelanggang ikonik bola sepak Argentina seperti Bombonera atau Monumental terkenal dengan suasana meriah dan memiliki atmosfera paling menarik dalam dunia bola sepak.
Kemeriahan itu dapat dilihat di Stadium Lusail apabila puluhan ribu penyokong Argentina mengubahnya seperti lautan biru putih dan menjadikan arena itu 'bergegar'.
"Kami suka mengambil kesempatan daripada detik-detik ini bersama orang ramai yang berada di sini dan di Argentina, di mana semua orang gembira,” ujar pemain bintang, Lionel Messi.
Argentina sudah beraksi tiga perlawanan di stadium berkapasiti 88,966 tempat duduk itu, di mana Messi akan memimpin Argentina berentap menentang Croatia pada Rabu dalam misi meraih slot ke final Piala Dunia.
Selepas tamat aksi, skuad Albiceleste akan terus berada di atas padang sejurus wisel penamat dibunyikan untuk berkongsi emosi dan detik-detik indah bersama penyokong mereka.
Berdasarkan rekod kedutaan Argentina di Qatar, antara 35,000 hingga 40,000 penyokong hadir ke Piala Dunia sekali gus menjadi antara kontinjen penyokong luar paling ramai sepanjang kejohanan.
Sokongan ramai itu ditambah pula dengan ribuan pekerja asing dari India dan Bangladesh di Qatar, di mana Messi dan Argentina mendapat sokongan meluas.
"Berbanding Perancis, Argentina tidak berada di tahap sama sebagai satu pasukan - tetapi mereka mendapat manfaat daripada sokongan penyokong mereka di sini,” kata bekas penyerang Perancis kelahiran Argentina, David Trezeguet kepada AFP.
Menjadi kelaziman pada akhir setiap kemenangan dan selepas menyertai penyokong menyanyi, pemain Argentina akan mengulangi ungkapan bahawa mereka beraksi untuk '45 juta' rakyat negara itu.
"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk 45 juta orang. Mereka sedang melalui tempoh ekonomi yang teruk. Memberi kegembiraan kepada orang ramai adalah perkara terbaik yang boleh saya lakukan pada masa ini,” ujar penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.