PM Anwar terima kunjungan Presiden Timor-Leste

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta di Seri Perdana. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta serta mengadakan perbincangan dua hala di Seri Perdana di sini.

Ramos-Horta dan delegasi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan khas dan antaranya bertemu Anwar bagi membincangkan serta menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara selain meneroka ruang kerjasama baharu.

Iklan
Iklan

Dalam perbincangan hampir sejam bermula kira-kira 12.10 tengah hari, Ramos-Horta turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Turut serta dalam perbincangan dua hala itu Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Norman Muhamad.

Iklan

Hadir sama Ketua Pengarah Hal Ehwal ASEAN Timor Leste Milena Rangel dan Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia Joana Veneranda Amaral.

Ramos-Horta dan delegasi kemudiannya diraikan dalam jamuan tengah hari.

Iklan

Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan yang erat dan mesra sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.

Malaysia adalah negara pertama menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dalam kalangan negara ASEAN yang menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.

Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk para pegawai Timor Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Pada 2021, Malaysia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Timor-Leste dan destinasi eksport ke-13 serta sumber import ketujuh.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencatatkan US$84.6 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022.

"Melalui pertemuan ini kami berupaya menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta meneroka ruang kerjasama yang baharu," kata Anwar menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

Anwar berkata Malaysia juga akan terus memberi dukungan kepada Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi.

Malaysia turut mengesahkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN mengenai pelan hala tuju keanggotaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN, katanya.

"Semoga hubungan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh menerusi pelbagai lapangan kerjasama," kata Anwar. - Bernama