MUKADIMAH: Seperti ‘kalis’ undang-undang, aktiviti penjualan pil gugur kandungan melalui laman sosial semakin berleluasa dan sangat membimbangkan. Taip sahaja ‘pil gugur janin’ atau ‘pil gugur kandungan’ pasti berderu keluar senarai nama akaun Facebook yang menjualnya, bahkan ada iklan yang secara terang-terangan disertai testimoni. Penjual pula menggunakan bahasa indah memujuk betapa mudahnya urusan pembelian ubat terlarang itu! Namun lebih menakutkan demi mengaut keuntungan sindiket pil bunuh janin ini tergamak menjual ubat itu kepada pelajar. Kegiatan itu berjaya kami dedahkan dalam Sinar Siasat minggu ini.
Ubat gugur kandungan dijual berleluasa termasuk kepada pelajar
Jika dulu kegiatan penjualan pil gugur kandungan didalangi segelintir klinik swasta, namun aktiviti ‘haram’ itu kini semakin menjadi-jadi apabila ia dijual secara berleluasa oleh kumpulan sindiket menerusi laman-laman sosial.
Tinjauan wartawan Sinar Siasat mendapati, tiga jenis pil iaitu mifepristone, cytolog dan misoprostol boleh dibeli dengan bebas secara dalam talian seperti di Facebook dan WhatsApp.
Lebih malang, apabila sindiket itu begitu berani menawarkan pil gugur kandungan kepada pelajar sekolah.
Apa yang lebih pelik, ada beberapa peniaga ‘haram’ ini mengaku menjual pil tersebut sejak lebih dua tahun lalu tanpa pernah ditahan pihak berkuasa.
Ketika wartawan Sinar Siasat melakukan penyamaran dengan memberitahu 'hamil dan masih bersekolah', seorang penjual yang memperkenalkan dirinya sebagai Mommy tidak banyak soal dan terus membuat rundingan seperti biasa.
Dia menawarkan pil gugur janin dengan diskaun RM400 mengikut jenis ubat serta keberkesanannya.
Katanya, dia menawarkan harga itu kononnya untuk membantu gadis terdesak.
"Mommy kesian pada awak. Kalau awak nak Mommy bagi RM400 sahaja (harga asal RM450) sebab awak masih di bawah umur,” katanya dalam perbualan menerusi Whatapps.
Lebih mengejutkan wanita berkenaan memberikan pelbagai tunjuk ajar ‘ilmu gila’ untuk membunuh janin menggunakan pil dijualnya.
Wartawan Sinar Siasat kemudian membuat penyamaran kedua dengan seorang lagi penjual yang memperkenalkan dirinya sebagai Mimie.
Mimie tanpa rasa takut, jauh sekali rasa bersalah menjelaskan terdapat tiga jenis pil untuk menggugurkan bagi usia kandungan kurang daripada 12 minggu.
"Set A harga RM350, jenis insert (masuk) dan kemam. Berkesan cuma 90 peratus. Set MTP harganya RM450, juga jenis insert (masuk) dan kemam. Set B harga RM600, pula dicadangkan. Jenis telan, lebih selesa dan penguna tidak alami kesakitan teruk serta berkesan 100 peratus. Lebih baik awak ambil terus set B ni,” katanya.
Taktik pujuk pembeli pil tidak bahaya
Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan peniaga haram pil gugur janin ini menggunakan taktik sama iaitu membuat penekanan mengenai betapa selamatnya pil itu, walaupun ia sebenarnya boleh memberi kesan sampingan termasuk mengancam nyawa.
"Tak bahaya, tak sakit pun. Adik ambil pil ini semasa cuti sekolah,” pujuk seorang lagi peniaga yang dihubungi Sinar Siasat.
Menurut penjual ketiga itu, dia telah menjalankan bisnes itu sejak dua tahun lalu tanpa diganggu pihak berkuasa.
Seorang lagi peniaga yang memperkenalkan diri sebagai Kak Nor dilihat lebih berani apabila sanggup membuat penghantaran sendiri kepada pelanggan.
"Jika awak takut kena tipu, saya boleh bawa pil ini untuk awak tengok original atau tidak,” katanya.
Wartawan Sinar Siasat cuba menyelidik sumber stok pil itu diperoleh, malangnya penjual tersebut enggan bercerita lanjut.
Bagaimanapun, difahamkan pil-pil haram seperti itu diimport oleh penyeludup haram dari luar negara terutamanya India.
Difahamkan peniaga ‘haram’ yang dipanggil orang tengah ini boleh mengaut keuntungan besar kerana contohnya pil misoprostol yang diimport biasanya dijual antara sekitar RM65 hingga RM80 kepada orang tengah.
Orang tengah ini kemudiannya menjual pada harga sehingga RM650 kepada gadis-gadis terdesak.