Tiada kelibat buaya di Tasik Serendah - Perhilitan

Iklan
Gambar di lokasi ketika pemantauan dilakukan kakitangan Perhilitan Selangor pada Isnin.

HULU SELANGOR - Tiada kelibat buaya kelihatan di Tasik Serendah sewaktu pemantauan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor pada Isnin.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, siasatan dilaksanakan pada jam 1.40 tengah hari dan mendapati tiada tanda kehadiran reptilia itu di tasik berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sepanjang siasatan dijalankan, kami tidak menemui sebarang tanda kehadiran hidupan liar terbabit seperti dilaporkan.

"Perhilitan Selangor akan menjalankan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa dan menasihati orang ramai agar berhati-hati," katanya.

Iklan

Pada Isnin, tular di media sosial mengenai kelibat haiwan didakwa seekor buaya sedang bersantai di Tasik Serendah bersebelah stesen komuter di sini.

Gambar beserta rakaman video haiwan itu dikongsikan di Facebook MyHuluSelangor.

Iklan

Menerusi hantaran tersebut, kelihatan haiwan didakwa buaya berada pada sebatang dahan berhampiran kawasan air.

Pengendali Facebook berkenaan menasihatkan kaki pancing yang beriadah di kawasan itu supaya berhati-hati.

Perkongsian tersebut mendapat reaksi beberapa pengguna yang antaranya mendakwa haiwan tersebut adalah buaya spesies jejulong.

"Buaya spesies ni namanya jejulong, tak makan orang dan tak boleh makan benda keras," kongsi Noor Haniyah Jamil.

"Jenis buaya ni tak buas sangat dan hanya makan ikan tapi kalau dah namanya buaya, ngeri jugaklah," tulis Muhammad Ashraff Harizan di ruangan komen.

Seorang penduduk di situ, Rafie Hasan turut meluahkan kerisauan susulan penularan berita itu kerana hanya tinggal bersebelahan tasik tersebut.

"Saya dah berbelas tahun tinggal di apartmen tepi tasik ini. Sebelum ni tak pernah dengar ada buaya di sini.

"Situ banyak biawak besar-besar, penah sekali terserempak dengan biawak saiz komodo lebih besar daripada saiz buaya video ini, tengah makan bangkai anjing tepi tasik," tulisnya di ruangan komen.

Dalam pada itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, pasukan bomba akan membuat pemantauan sebagai langkah keselamatan.

"Bomba menasihatkan semua pengunjung tasik agar berhati-hati ketika memancing atau beriadah.

"Jika terjumpa haiwan tersebut, laporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Perhilitan untuk tindakan," katanya.