Kalamullah mahu kekal jersi nombor satu

Iklan
Kalamullah bersama pemain Harimau Malaya sebelum perlawanan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu. - Foto FAM

PENJAGA gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang berjaya melakukan debut tanpa bolos bersama skuad Harimau Malaya menerusi kemenangan 4-0 ke atas Kemboja pada Jumaat lalu, berazam untuk bekerja keras bagi terus menyarung jersi nombor satu skuad kebangsaan pada aksi-aksi seterusnya.

Beliau yang bakal beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim depan mengakui, walaupun bukan tugas mudah untuk terus menjadi pilihan utama, namun pemain berusia 27 tahun kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu, bertekad membuktikan kemampuannya.

Iklan
Iklan

"Tanpa bolos dan kemenangan besar dalam debut memberikan semangat kepada saya untuk terus mempamerkan aksi terbaik dan komitmen tinggi sekiranya terus diberi kepercayaan oleh (pengendali Harimau Malaya) Kim Pan-pon. Banyak yang perlu saya perbaiki seperti tampil lebih tenang dan fokus.

"Bukan mudah untuk terus menjadi pilihan utama kerana ada Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Rahadiazli Rahalim dan Muhammad Azri Abdul Ghani yang mempunyai kelebihan masing-masing, jadi kena buktikan kemampuan saya kepada barisan jurulatih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, pada Isnin.

Iklan

Beliau tidak menafikan turut berasa gementar apabila menggalas tugas menjaga gawang gol negara buat kali pertama pada perlawanan itu, yang sebelum ini menjadi milik Farizal Marlias, namun semua itu dapat diatasi dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakan sepasukan.

Farizal merupakan antara 12 pemain yang tidak dapat menyertai kem latihan kali ini atas beberapa faktor.

Iklan

Sementara itu, tonggak pertahanan muda Muhammad Azam Azmi Murad, berharap untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam satu lagi aksi pemanas badan bertemu Maldives, Rabu ini.

"Semua pemain beraksi dengan sangat baik, dan komunikasi dalam pasukan cukup baik. Insya-ALLAH kita dapat kekalkan aksi tanpa bolos.

"Ini merupakan kali kedua saya mendapat panggilan skuad kebangsaan, kali ini saya lebih memahami taktikal dan cara bermain yang barisan jurulatih mahukan," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF ke atas Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Untuk rekod Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura. - Bernama