Banjir besar dalam tempoh tiga hari

Iklan
Banjir besar berkemungkinan boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari ini susulan fenomena luruan monsun dan dirangsang oleh fenomena La Nina dan negatif IOD yang masih aktif melanda negara. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Azizan)

SHAH ALAM - Banjir besar berkemungkinan boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari ini susulan fenomena luruan monsun dan dirangsang oleh fenomena La Nina dan negatif Indian Ocean Dipole (IOD) yang masih aktif melanda negara.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, luruan monsun yang menghasilkan angin kencang di Laut China Selatan selain fenomena La Nina dan negatif IOD menyebabkan peningkatan hujan sehingga membawa kepada berlakunya kejadian banjir terutama di Pantai Timur.

Iklan
Iklan

Ujarnya, ramalan dari model global seperti di Nullschool.net meramal hujan lebat berterusan sehingga tengah malam Selasa.

"Fenomena La Nina dan negatif IOD yang bertindak selari telah merangsang cuaca hujan secara berterusan berlaku beberapa negeri di Malaysia.

Iklan

"Kekerapan hujan lebat meningkatkan potensi banjir besar dijangka berlaku dalam tempoh tiga hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau menambah hujan secara berterusan itu menyebabkan paras air sungai berada pada paras bahaya.

Iklan

"Air sungai akan melimpah disebabkan taburan hujan yang tinggi sekali gus membawa kejadian banjir besar di beberapa negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, beberapa negeri yang dijangka mengalami kejadian banjir besar antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Bagaimanapun, Azizan memaklumkan fenomena La Nina dan negatif IOD diramal kembali reda pada hujung tahun ini.

"Fenomena La Nina dan negatif IOD itu akan melemah dan menjadi neutral. Dengan itu ia akan mereda rangsangan untuk hujan daripada tahap luar biasa selain tidak berlakunya cuaca hujan secara berpanjangan.

"Jadi awal tahun 2023 cuaca dijangka baik dan kembali pulih khasnya di negeri-negeri pantai Timur,” katanya.

Beliau menambah ini kerana lazimnya musim hujan lebat di Sabah dan Sarawak berlaku pada bulan Januari dan Februari yang mana sebulan lewat dari Semenanjung.

"Maka fenomena hujan lebat monsun timur laut dijangka tidak reda lagi di Malaysia Timur,” jelas beliau.