BALING - Ibu bapa kepada bayi yang meninggal dunia selepas diberi makan epal lenyek oleh pengasuh taska pada 8 April lalu tidak menyimpan perasaan dendam, sebaliknya Mohd Fadlan Saedin, 38, dan Munirah Abd Rahman, 38, mengambil pendekatan memaafkan pihak terlibat.
Mohd Fadlan berkata, dia juga memaafkan masyarakat yang melontar prasangka buruk dan ulasan tidak tepat mengenai kejadian itu sehingga menimbulkan fitnah.
"Hari ini (Sabtu lalu) kami adakan majlis doa selamat dan tahlil supaya kita semua dijauhi fitnah. Macam-macam orang kata, ada yang tanya kenapa kami tak ambil apa-apa tindakan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, keluarganya menerima kejadian dengan reda dan menyerahkan apa yang berlaku kepada ALLAH SWT.
"Kami serah kepada ALLAH kerana hanya Dia yang terbaik. Kemaafan itu lebih besar ganjarannya dan ada disebut dalam al-Quran," katanya.
Mohd Fadlan berkata, selepas kejadian itu, hubungan keluarganya dengan pihak taska tetap terjalin baik seperti biasa.
"Pihak pengurusan taska dan semua pengasuh pun datang dalam majlis tahlil dan doa selamat," katanya.
Mohd Fadlan yang juga AJK Pemuda Pas Baling tidak bimbang dan khuatir untuk menghantar anak kelimanya ke taska berkenaan.
"Enam anak saya termasuk Allahyarham Muhammad Fawwaz kami hantar ke taska itu. Anak kelima berusia lima tahun pun akan saya hantar ke taska itu minggu depan.
"Kami tak ragu-ragu sebab yakin apa yang berlaku adalah takdir. Kadang-kadang (kematian anak) boleh berlaku di tangan kita sendiri," katanya.
Menurutnya, emosi kesemua anaknya stabil selepas kehilangan adik bongsu.
"Saya selalu pesan kepada anak-anak ALLAH sayangkan adik. Alhamdulillah mereka dapat terima apa yang berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fadlan berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyyah Alor Setar mendapati, anaknya meninggal dunia kerana tersedak epal lenyek.
"Sebelum bedah siasat pun kami yakin dan pasti punca kematian Muhammad Fawwaz disebabkan tersedak epal lenyek dan buka punca lain," katanya.
Dia juga berharap orang ramai berhenti daripada terus menimbulkan spekulasi berhubung kejadian itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi meninggal dunia selepas makan epal lenyek