Bekas guru tuisyen didakwa terima wang haram RM12,000

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima wang tunai daripada hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Georgetown pada Selasa.

GEORGETOWN - Bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima wang tunai sebanyak RM12,000 daripada hasil aktiviti haram pada Disember tahun lalu.

Jamaliah Ahmad berusia 62 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut lobi sebuah hotel di Jalan Penang pada jam 7 malam, 15 Disember 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang memakai baju jubah berwarna hijau boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Hariss Ong Jeffery Ong memohon wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin daripada mahkamah terhadap tertuduh.

Iklan

Permohonan itu bagaimanapun dipersetujui oleh peguam yang mewakili tertuduh, Md Yusuf Md Idris.

Mazdi kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan tiga syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap awal bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.

Mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di luar kamar mahkamah, Md Yusuf memberitahu media bahawa anak guamnya telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 pada 17 November 2022.

"Anak guam saya telah menghadapi pertuduhan pemerdagangan bayi pada tahun lalu. Bagaimanapun, dia telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada bulan lalu.

"Pada hari ini, dia menghadapi pertuduhan menerima wang daripada aktiviti tersebut. Disebabkan dia dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah, maka ini akan menjadi asas kepada pembelaan kita nanti," katanya.