Wanita cedera, rumah rosak teruk selepas tong gas meletup

Iklan
Kenderaan yang diletakkan di luar rumah mangsa turut mengalami kerosakan.

TASEK GELUGOR - Seorang wanita cedera selepas tong gas petroleum cecair (LPG) dalam rumahnya meletup dalam kejadian di Taman Sena Permai, Pokok Sena di sini, pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hazam Hassan berkata, kejadian berlaku jam 8.13 pagi itu menyebabkan hampir keseluruhan struktur rumah dua tingkat itu mengalami kerosakan.

Iklan
Iklan

"Sebaik menerima panggilan kecemasan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan ketika kami sampai mangsa berusia 26 tahun sudah dibawa keluar oleh jiran.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Iklan

Mohamad Hazam berkata, siasatan lanjut mendapati, rumah tersebut didiami tiga individu terdiri daripada mangsa, adik lelaki serta isterinya.

Jelasnya, dari keterangan awal ahli keluarga itu, ketika kejadian mereka sedang tidur manakala kakaknya dikatakan turun ke bawah untuk melakukan rutin memasak sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

Iklan

"Setakat ini punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.