SETIU - Seorang bekas imam masjid yang dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh ketika menjala ikan seorang diri di tali air di Kampung Fikri di sini ditemui meninggal dunia akibat lemas pada Selasa.
Mayat, Zakaria Mohd Nong, 72, dari Kampung Beris Tok Ku ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 11.20 pagi selepas lebih 17 jam dilaporkan hilang di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, mayat Zakaria ditemui pada jarak kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
"Susulan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak semalam ditamatkan pada jam 11.45 pagi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sementara itu adik mangsa, Che Marlina Abdul Ghani, 48, berkata, arwah abangnya sempat menikmati hidangan ubi rebus yang dimasak oleh isteri sebelum keluar menjala ikan selepas waktu asar.
"Kali terakhir saya jumpa dengan arwah abang adalah pada dua hari lalu ketika menghantar ubi ke rumahnya. Dia tidak menunjukkan petanda selain mahu saya mengurut badannya yang sakit-sakit.
"Bagaimanapun, saya tidak sempat berbuat demikian kerana ada tugasan lain dan berjanji untuk mengurutnya pada hari lain,” katanya sebak.
Menurut Che Marlina, walaupun sedih mereka sekeluarga reda dengan pemergian Zakaria dan menyifatkan arwah sebagai seorang abang yang baik, penyayang serta sering membantu adik-adik.
Beliau berkata, jenazah arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Tok Ku.
"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan penyelamat dan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu mencari arwah abang sejak dia dilaporkan hilang,” katanya.