Tiada pesakit pulang tanpa rawatan di HRPB

Iklan
Sivanesan (dua dari kanan) mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB, Ipoh pada Selasa.

IPOH - Tiada pesakit yang pulang tanpa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sepertimana dilapor sebuah portal pada Isnin.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, semakan mendapati rawatan kecemasan dan trauma telah diberikan kepada semua pesakit yang datang walaupun sebahagiannya terpaksa menunggu lama.

Iklan
Iklan

"Rekod menunjukkan hospital ini tidak pernah meminta mana-mana pesakit balik tanpa rawatan. Setiap pesakit yang datang tetap akan dapat rawatan dan ubat-ubat yang dibekalkan mutunya adalah sama dengan hospital swasta.

"Tidak, kita tetap kena beri rawatan yang sepatutnya kepada semua pesakit, tiada siapa yang dinafikan mahupun terpinggir," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB di sini pada Selasa.

Iklan

Artikel yang ditulis dalam portal berkenaan mendakwa terdapat pesakit yang bukan dalam kategori pesakit Covid-19 terpaksa menunggu sehingga ke enam hari bagi mendapatkan katil rawatan di jabatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, setakat ini HRPB tidak berdepan dengan masalah kesesakan pesakit yang melampau meskipun berlaku peningkatan jumlah kehadiran pesakit kritikal.

Iklan

"Ikut rekod, kehadiran pesakit harian di hospital ini adalah berkurangan, tetapi pesakit kritikal meningkat.

"Begitupun, kita masih berikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit kritikal ini sebelum dirujuk kepada jabatan lain," katanya.

Sementara itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi keutamaan menyalurkan peruntukan kepada projek menaik taraf dan memperluaskan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Katanya, peruntukan itu sekiranya diluluskan dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah dan kekangan dihadapi jabatan berkenaan terutama berkaitan kelengkapan peralatan dan perubatan.

"Dalam lawatan menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) April lalu, HRPB telah kemukakan sejumlah RM6.5 juta bagi bajet tahun hadapan.

"Semalam Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hubungi saya dan beri komitmen untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jadi dalam masa terdekat ini, saya akan adakan mesyuarat bersama pengurusan HRPB dan KKM untuk kita tahu berapa bajet diperuntukkan untuk HRPB kerana perkara ini pun sudah dalam pengetahuan menteri," katanya.