SHAH ALAM - Semua pihak perlu menghormati keputusan kerajaan terhadap penamatan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana keputusan tersebut diambil bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan.
"Prinsip ini penting kerana suasana harmoni dan persekitaran kerja yang positif memberi kesan kepada mutu perkhidmatan yang cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada pagi Selasa, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengesahkan penamatan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA yang berkuat kuasa pada Isnin lalu.
Mohd Zuki berkata, keputusan itu diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, Mohd Shafiq akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa menganiayanya.
Adnan turut menyeru semua pihak terutama warga perkhidmatan awam untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak memanjangkan isu penamatan perkhidmatan itu sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
Tambahnya, begitu juga bagi pihak luar untuk tidak menggunakan isu penamatan perkhidmatan tersebut sebagai modal politik yang boleh mengelirukan mana-mana pihak.
"Cuepacs mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan yang diberikan.
"Walau apa jua yang berlaku, jasa dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam amat dihargai oleh Cuepacs. Cuepacs mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohd Shafiq,” ujarnya.
Jelas Adnan, semua pihak termasuk pegawai lantikan politik dalam perkhidmatan awam perlu menjadikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan.
Katanya, Perdana Menteri telah memberi panduan bahawa mereka yang berada dalam Kerajaan Perpaduan harus menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.
"Sudah tentu sikap hormat-menghormati menjadi asas utama bagi membentuk sebuah permuafakatan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.
Cuepacs juga berharap semua penjawat awam dapat menyahut seruan KSN untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang dicintai.