SHAH ALAM - Pas Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri memilih syarikat perkhidmatan insurans konvensional untuk Skim Insurans Am Selangor (Insan) yang didakwa tidak patuh syariah.
Setiausaha Perhubungannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Menteri Besar, Amirudin Shari sewajarnya peka dengan soal halal haram berhubung tindakan tersebut memandangkan ia melibatkan rakyat Selangor yang majoritinya umat Islam.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu jelas melanggar keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011.
"Mesyuarat berkenaan telah memutuskan insurans konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan prinsip Islam.
"Oleh yang demikian, pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Roslan berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) wajar menangguhkan skim berkenaan serta-merta dan pada waktu yang sama mengambil langkah berunding dengan syarikat-syarikat perkhidmatan takaful yang patuh syariah untuk mengambil alih skim berkenaan.
"Biarlah segala program dan skim yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan negeri buat rakyat Selangor sentiasa halal dan patuh syariah demi memperoleh barakah dan rahmat daripada ALLAH SWT," katanya.
Amirudin sebelum ini menjelaskan skim tersebut bertujuan memberi perlindungan kepada rakyat negeri itu daripada segi kes melibatkan kematian, kemalangan dan kecederaan.