Banjir: Layanan sama rata kepada kerajaan negeri tidak sehaluan

Iklan
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi pusat diarahkan agar memberi layanan sama rata terhadap kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Persekutuan dalam aspek pengurusan banjir dan bantuan.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah tersebut bagi membantu mangsa banjir tanpa mengira aliran politik pemerintahan negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Ini bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya masalah politik," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di sini pada Selasa.

Menurutnya, pendekatan baharu itu biasa dilaksanakan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa sebelum ini.

Iklan

"Pada hemat saya, inilah yang juga dipegang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk rakyat, beliau buta warna," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam mendepani bencana banjir yang dijangka berlaku hujung minggu ini.

Iklan

Katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) akan diaktifkan lebih awal di kawasan yang dilanda banjir sebelum ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan dokumen penting.

"Fokus diberikan kepada kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan tinggi sekali gus menyebabkan berlaku banjir.

"Acuan baharu iaitu ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan dijadikan panduan bagi mengaktifkan PPS," katanya.

Selain itu, beliau berkata, penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi bencana banjir harus dimulakan termasuklah meneruskan projek tebatan banjir yang dilaksanakan kerajaan terdahulu biarpun menelan kos RM15 bilion.

"Penyelesaian jangka panjang mesti dicari dari sekarang bukannya ketika banjir berlaku," katanya.

Tambah beliau, keterlibatan sukarelawan di dalam JPBP di peringkat nasional, daerah dan PPS merupakan langkah efektif kepada penyelesaian masalah banjir terutama mangsa yang terlibat.

"Buat pertama kali, kami menjadikan badan sukarela untuk bersama-sama dengan jawatankuasa ini," katanya.