SELEPAS menerima rungutan daripada penyokong Harimau Malaya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menurunkan harga tiket perlawanan Piala AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, Jawatankuasa Tiket dan Stadium membuat keputusan untuk memberi 'diskaun' tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan menentang Laos dan Singapura.
Menurutnya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sentiasa prihatin mendengar apa juga keperluan penyokong dan sangat menghargai sokongan yang sentiasa berada di belakang pasukan.
"Tempat duduk terbuka diturunkan kepada RM45 manakala premium diturunkan kepada RM60 dan grandstand diturunkan kepada RM70. Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak kekal pada harga RM10.
"Bagi penyokong yang sudah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.
"Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Harga tiket perlawanan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini bagi tempat duduk granstand dijual pada harga RM100 manakala tempat duduk premium dijual pada harga RM70.
FAM menetapkan harga bagi tempat duduk terbuka pada harga RM50 manakala bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dijual dengan harga RM10.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember sebelum berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 Januari).