Ringgit susut ke paras 4.42

Iklan
Gambar hiasan.

RINGGIT meneruskan aliran penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga pada Selasa ketika sentimen kekal tidak menentu menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS lewat hari ini, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.4260/4320 berbanding dolar AS daripada 4.4150/4200 pada akhir urus niaga semalam.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, kalangan penggiat pasaran juga masih menunggu kenyataan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai IHP susulan pengumuman data inflasi sebelum ini yang kurang memberangsangkan.

Laporan media menyatakan bank pusat AS itu dijangka menaikkan kadar faedah sehingga 50 mata asas pada Rabu yang lebih rendah daripada kenaikan 75 mata asas dalam empat mesyuarat sebelum ini.

Iklan

"Walaupun jangkaan inflasi itu jelas meleset, peniaga tempatan sebaliknya masih bimbangkan mengenai kenaikan IHP AS yang lebih tinggi dan boleh menjejaskan kenaikan ringgit pada akhir tahun ini.

"Namun, saya berpendapat bahawa ringgit berada dalam kedudukan bertahan sekarang ketika pasaran masih berpendirian positif terhadap mata wang itu dalam 2023,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding satu kelompok mata wang utama.

Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.4307/4381 daripada 5.4190/4251 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.6646/6709 daripada 4.6622/6675 semalam.

Ringgit bagaimanapun mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2640/2689 daripada 3.2641/2683 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2142/2188 daripada 3.2311/2350. - Bernama