KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengetepikan perintah penggantungan yang melarang kerajaan Malaysia menghantar pulang 114 pelarian warga Myanmar ke negara asal.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri selaku responden untuk mengetepikan perintah larangan yang diputuskan sebelum ini.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili kesemua responden dan peguam Lim Wei Jeit, yang mewakili dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Asylum Access Berhad serta Aimal Sdn Bhd selaku pemohon, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Ketiga-tiga responden memfailkan permohonan itu pada 12 Mei lepas atas alasan tahanan Myanmar telah berulang kali merayu dan meluahkan hasrat kepada pegawai yang bertugas di depot tahanan Imigresen supaya membenarkan mereka pulang ke negara asal.
Perintah sementara sebelum ini dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 24 Februari 2021, yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar pulang pendatang Myanmar ke negara asal berkuat kuasa sehingga 9 Mac 2021.
Kedua-dua NGO memfailkan permohonan pada 22 Februari 2021 bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menghantar pulang kesemua pelarian termasuk kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan Imigresen ke Myanmar melalui kapal.
Dalam permohonan itu, NGO terbabit mendakwa jika kesemua pelarian dihantar pulang ke Myanmar, kehidupan mereka akan terancam dan dalam bahaya.
Dalam kenyataan media pada 23 Februari 2021, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lepas dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan dan Kedutaan Myanmar. - Bernama