JAKARTA - Sesi lelongan untuk hak pemilikan dan pembangunan di kepulauan di timur Indonesia yang mempunyai lebih 100 pulau ditangguhkan pada bulan depan.
Keputusan itu diumumkan pusat lelongan Sotheby's selepas rancangan tersebut berdepan kritikan kumpulan pencinta alam.
Rizab Widi seluas 315,000 hektar adalah sebahagian daripada Segitiga Terumbu Karang yang merupakan kawasan marin paling biodiversiti merentasi enam negara termasuk Filipina, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Ia sepatutnya dilelong di ibu pejabat Sotheby's di New York pada Khamis lalu, namun ditunda pada akhir Januari depan.
Naib Presiden Sotheby's Asia Pasifik, Zackary Wright memberi alasan ia ditangguhkan kerana menjadi 'tumpuan utama' selain memberikan tempoh tambahan kepada pembida.
Tetapi, penangguhan itu dipercayai ada kaitan dengan bantahan aktivis yang berpendapat tindakan menjual hak pembangunan tersebut akan mengancam gugusan pulau yang masih 'dara' dan terpelihara daripada sebarang aktiviti manusia.
"Kawasan itu harus dilindungi untuk usaha pemuliharaan dan bukannya bagi tujuan pelancongan," kata aktivis Greenpeace Indonesia, Afdillah Chudiel.
Sementara itu, anggota kumpulan pemuliharaan Walhi, Parid Ridwanuddin berkata, tindakan melelong gugusan pulau tidak berpenghuni itu jelas menunjukkan sikap tidak peduli terhadap budaya masyarakat maritim Indonesia.
"Ia mempunyai fungsi ekologi dan budaya untuk komuniti tempatan. Mereka menggunakan pulau-pulau tersebut untuk sumber makanan," ujarnya.
Difahamkan, PT Leadership Islands Indonesia (LII) berpusat di Bali yang memegang hak pengurusan selama 70 tahun ke atas pulau-pulau tersebut merancang untuk membangunkan kurang 0.005 peratus daripada Rizab Widi berkenaan.
LII yang mahu melelong hak pembangunan itu turut mengiklankan kepulauan itu sebagai potensi besar untuk membina resort mewah dan rumah di 17 pulau bersama landasan udara persendirian sepanjang 1,000 meter.
Namun, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Laut dan Perikanan (KKP), Wahyu Muryadi menegaskan syarikat berkenaan tidak mempunyai permit pembangunan perniagaan dan pulau-pulau itu tidak boleh dimiliki warga asing atau didagangkan.
LII cuba mempertahankan hak mereka dengan menyatakan ia tidak memiliki permit kerana belum menggunakan perairan berkenaan untuk aktiviti perniagaan.
Setakat ini, tiada anggaran harga jualan untuk hak pembangunan tersebut diumumkan Sotheby's atau LII.
Indonesia mempunyai salah sebuah sistem terumbu karang paling luas di dunia yang mengandungi lebih 17,000 pulau dan menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar eksotik. - AFP