KUALA LUMPUR - Penat makan gaji mendorong ibu kepada dua anak mengambil keputusan berhenti kerja dan mula berniaga sendiri dengan menjaja nasi lemak RM1 berdekatan Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati.
Nur Azie Syahirah Abd Rahim, 29, berkata, enam tahun bekerja di bahagian pentadbiran dengan gaji kurang RM2,500 dianggap tidak setimpal dengan lambakan kerja selain masa bersama keluarga terhad.
Menurutnya, walaupun tiada ilmu berniaga namun dia mengambil keputusan berani untuk berhenti kerja susulan komitmen yang tinggi.
"Sebelum membuat keputusan berhenti kerja, saya ada cuba meletakkan nasi lemak di kedai adik dengan kuantiti hanya 30 bungkus.
"Di peringkat permulaan sambutan yang diterima agak suram, namun bertambah baik beberapa minggu kemudian membuatkan saya berani untuk fokus dengan berniaga sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, tindakan nekadnya nyata berbaloi apabila hasil pendapatan yang diperoleh kini berlipat ganda daripada sebelum ini selain dapat meluangkan masa bersama keluarga.
"Walaupun sedikit penat kerana menyiapkan tempahan bersendirian, namun saya puas hati kerana tidak terikat dengan waktu kerja.
"Setiap hari saya menyiapkan 500 bungkus nasi lemak, namun pada Jumaat tempahan itu saya buat dua kali ganda kerana ada yang mahu bersedekah di masjid," katanya.
Katanya, nasi lemak bungkus yang dihasilkan sedikit berbeza daripada peniaga-peniaga lain kerana disediakan variasi lauk yang boleh dipilih pelanggan antaranya sambal kerang, sambal ayam dan lain-lain.
"Cuma isinya tidak banyak tapi sesuailah dengan harganya RM1.
"Jika beli di tempat lain, harganya mungkin lebih mahal, nasi lemak biasa saja paling murah RM2," katanya.
Nasi lemak berlauk diusahakan Nur Azie Syahirah beroperasi jam 6.30 pagi pada Isnin hingga Jumaat.