Lebuhraya PIL 1: CAP, SAM kecewa keputusan JAS

Iklan
Pelan jajaran Lebuhraya PIL 1 yang akan dimulakan kerja pembinaan pada Julai tahun depan. (Gambar kecil: SM Mohamed Idris)

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa dengan keputusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meluluskan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) di negeri ini.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, walaupun kelulusan itu disertakan dengan 56 syarat, ia tetap dilihat satu keputusan yang memeranjatkan berikutan projek itu mendapat tentangan dari orang awam sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SAM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) antara yang menyuarakan kebimbangan projek itu kerana mendapati banyak kelemahan dalam laporan EIA tersebut.

"Kami amat tidak setuju dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang menyatakan Lebuhraya PIL 1 akan menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini. PIL 1 bukan penyelesaian jangka masa panjang untuk masalah kesesakan lalu lintas.

Iklan

"Kerajaan negeri dijangka membelanjakan RM8 bilion untuk projek ini dan ia adalah pembaziran sumber awam yang besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Presiden CAP berkata, pihaknya amat terkejut dengan sikap kerajaan negeri yang enggan mendengar pihak termasuk rakyat mengenai projek berkenaan.

Iklan

"Ada banyak pihak yang mengambil bahagian dalam kajian EIA menyatakan pendapat dan memberikan maklum balas mengenai projek itu, namun kerajaan negeri langsung tidak mahu mendengarnya. Ini amat mengecewakan.

"Kami mengulangi pendirian agar kerajaan negeri tidak meneruskan PIL 1 walaupun telah memperoleh kelulusan EIA bersyarat. Kami juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan 56 syarat yang dikenakan oleh JAS berhubung projek berkenaan," katanya.

Pagi tadi, Kon Yeow mengumumkan bahawa JAS telah meluluskan kajian EIA untuk pembinaan Lebuhraya PIL 1 yang bernilai RM7 bilion.

Susulan daripada kelulusan bersyarat itu, projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion itu akan bermula pada Julai 2020 dan dijangka siap dalam tempoh enam tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: PIL 1 dijangka mula tahun depan, telan belanja RM7 bilion