PEMENANG Piala Dunia Brazil, Ronaldo menegaskan tidak bersetuju bahawa Argentina berkemampuan merangkul kejuaraan edisi Qatar 2022, selepas penyingkiran secara mengejut skuad Samba pada suku akhir.
Brazil, yang merangkul kejuaraan kelima pada edisi Korea Selatan-Jepun 2002 dengan Ronaldo memainkan peranan penting, ditunjukkan jalan keluar finalis edisi Rusia 2018 Croatia menerusi penentuan penalti lapan terbaik, yang menjadi lawan Argentina di separuh akhir selepas itu.
"Untuk mengatakan saya akan gembira untuk Argentina (jika mereka menang), itu adalah tidak benar, malah ia adalah satu pembohongan, saya tidak akan menjadi hipokrit...
Ronaldo, pemenang Ballon d'Or dua kali yang menjulang beberapa trofi bersama skuad Samba termasuk Copa America dan Piala Konfederasi, turut menyatakan pandangannya mengenai pengendali Brazil seterusnya apabila Tite meninggalkan jawatan itu selepas gagal memenangi dua Piala Dunia.
"Saya tidak kisah jika dia orang asing. Saya suka melihat Pep Guardiola, Carlo Ancelotti atau Jose Mourinho melatih Brazil. Tetapi saya bukan orang yang memilih...
"Saya sentiasa bersedia untuk CBF (persekutuan bola sepak Brazil) untuk apa sahaja yang mereka mahu, untuk sebarang perundingan," katanya.
Untuk rekod, dua gol penyerang, Julian Alvarez dan satu daripada penalti Lionel Messi menyaksikan Argentina menewaskan naib juara edisi Rusia 2018, Croatia 3-0 pada separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Rabu.
Kemenangan itu membolehkan Argentina mara ke perlawanan akhir pada Ahad ini, berdepan pemenang aksi Perancis Maghribi yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.