KUALA LUMPUR - Pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan khusus berkaitan proses pemfailan syarikat SRC International Sdn Bhd yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu.
Penolong Pendaftar SSM Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata apa yang beliau nyatakan dalam mahkamah hari ini adalah berdasarkan apa yang tertera dalam dokumen yang dirujuk kepadanya oleh peguam Harvinderjit Singh.
Pada prosiding hari ini, Harvinder, yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merujuk tiga dokumen tambahan membabitkan SRC International serta Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dan yang mengandungi butiran lanjut mengenai semua individu yang pernah menjadi pengarah YR1M.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim sama ada saksi itu mempunyai pengetahuan khusus mengenai syarikat-syarikat yang berdaftar dengan SSM, Muhamad Akmaludin berkata;"Tidak."
Beliau berkata demikian pada hari kedua perbicaraan Najib berhubung kes membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Suhaimi: Dalam keterangan kamu sebelum ini, ketika kamu dirujuk dengan pelbagai dokumen oleh peguam bela, keterangan yang kamu berikan bukan daripada pengetahuan kamu sendiri?
Muhamad Akmaludin: Betul.
Suhami: Apa yang kamu nyatakan adalah daripada apa yang tertera dalam dokumen?
Muhamad Akmaludin: Betul.
Suhaimi: Adakah kamu tahu bagaimana selok-belok pemfailan sesuatu dokumen dan mengapa ia dikemukakan sedemikian?
Muhamad Akmaludin: Saya tidak tahu.
Terdahulu, saksi pertama pendakwaan itu berkata beliau tidak ingat jumlah syarikat yang telah berdaftar dengan SSM.
Ketika diminta Suhaimi untuk menganggarkan berapa jumlah syarikat yang berdaftar dengan SSM, saksi itu menjawab:"anggaran berjuta."
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu, yang merupakan Perdana Menteri Keenam Malaysia, didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Februari 2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.-Bernama