SEREMBAN - Padah bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022, seorang ejen hartanah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tan Kai Sen, 19, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Kai Sen di tempat awam telah didapati bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Pusat Komersial Saujana, S2 Height di Seremban pada 14 Disember 2022 jam lebih kurang jam 3.30 pagi.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495).
Peguam, Iwana Sakinah Mohd Lajis merayu agar anak guamnya diberi hukuman denda minima kerana itu merupakan kesalahan pertama dilakukan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman.
Untuk rekod Piala Dunia Qatar 2022 bermula dari 21 November sehingga 18 Disember ini.