Dakwaan sertai Pas: Zool Amali minta semua tunggu Sabtu ini

Iklan
Jemputan sidang akhbar yang akan diadakan Sabtu ini.

SEREMBAN - Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin masih berdiam diri berhubung dakwaan akan menyertai Pas.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian meminta menunggu sidang media yang akan diadakan pada Sabtu ini, jam 5 petang bertempat di rumahnya di Lenggeng di sini.

Iklan
Iklan

"Belum ada sebarang pengumuman rasmi dan apa-apa sidang media pun termasuk penyerahan borang.

"Harap semuanya bertenang, tunggu saja Sabtu ini," katanya pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini beliau telah berkongsi video di akaun TikToknya yang sedang mengisi borang tertera logo Pas dengan keterangan"Ayuh bersama saya! Hijrah itu 1 pengorbanan 'Tsunami Jebat'".

Pada ruangan komen ramai yang mengucapkan tahniah dan memintanya istiqamah dengan keputusan yang dibuat dan dibalas dengan jawapan"Insya-ALLAH".

Iklan

Sinar Harian beberapa kali melaporkan ketidakpuasan hati Zool Amali terhadap kepimpinan tertinggi UMNO dan terbaharu mendesak Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan segera susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ramalan banyak pihak yang parti itu akan kecundang disebabkan oleh Ahmad Zahid ternyata benar.

"Saya menegaskan Zahid adalah punca utama BN kalah dan ditolak kali ini. Beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya seperti mana kita desak Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kekalahan BN pada PRU14.

"Saya tahu apabila bercakap begini ada yang tidak bersetuju, tapi saya perlu bercakap benar walaupun pahit kerana jika tidak buat perubahan sekarang kita akan terus kecundang pada Pilihan Raya Negeri tahun hadapan," katanya.