PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen menerusi usul undi percaya dalam sidang khas Isnin depan.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan komitmen yang diberikan oleh ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini, dalam sidang akhbar pertama selepas menjawat jawatan itu, Anwar memaklumkan satu usul undi percaya akan dibentangkan di dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini bagi menoktahkan persoalan mengenai keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari.
Antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar.
Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.