Harga tiket Piala AFF turun lagi

Iklan
Harga terkini tiket Piala AFF.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan harga tiket bagi perlawanan peringkat Kumpulan Piala AFF 2022 menentang Laos dan Singapura diturunkan lagi kepada serendah RM30 untuk satu perlawanan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penurunan harga tiket kali kedua itu dibuat selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya.

Iklan
Iklan

Menurut Hamidin, beliau telah sekali lagi mengarahkan kepada Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais supaya mendapatkan solusi terbaik dalam memastikan situasi menang-menang dapat dicapai di antara FAM dan penyokong.

"Untuk makluman semua, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 ini berbanding edisi 2018 terpaksa dibuat oleh FAM disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Iklan

"Sebagai Presiden FAM, saya perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya yang mana kita mahu peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ketika ini dapat berjalan seiring dengan sokongan padu kehadiran penyokong di stadium pada setiap perlawanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tiket Terbuka yang sebelum ini berharga RM50 dan RM45, kini diturunkan ke RM30; tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.

Iklan

Beliau berkata, bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal ataupun harga yang telah diturunkan semalam, proses pemulangan untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.

"Akhir kata, saya menjemput dan mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penyokong Harimau Malaya untuk sama-sama membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Disember ini bagi perlawanan menentang Laos dan pada 3 Januari depan bagi perlawanan menentang Singapura.

"Semoga kehadiran lebih ramai penyokong ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi, semangat dan persembahan barisan pemain Harimau Malaya. Semua ini adalah demi lencana di dada!," ujarnya.