KOTA KINABALU - Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Fairuz Renddan bersedia dengan sebarang tindakan daripada Bersatu Pusat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan bagaimanapun, menegaskan bahawa ADUN Bersatu yang keluar daripada parti sudahpun memaklumkan perkara itu secara baik kepada kepimpinan Pusat.
Iklan
Iklan
"Jadi apa-apa pun tindakan daripada Pusat kita sedia terima," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Masjid dan Surau Kariah Cemerlang, Tokoh Imam, Kaunter Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Dewan Saadah di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang mungkin akan diambil oleh pihak Bersatu Pusat susulan kepimpinan dan ADUN Bersatu dari Sabah keluar daripada parti pada Sabtu lalu.
Diminta mengulas lanjut adakah Bersatu Bahagian Kota Belud akan terbubar dengan sendirinya susulan tindakannya itu, Fairuz berkata, beliau bukan Ketua Bahagian di kawasan berkenaan.
"Itu kena tanya Ketua Bahagian. Saya bukan Ketua Bahagian, hanya Ketua Armada Negeri dan saya hanya Ketua Armada di bahagian," katanya.
Sebelum itu, Hajiji yang juga sebelum ini sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu mengumumkan kepimpinan Bersatu Sabah keluar parti, namun kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).