KUALA SELANGOR - Dua beradik yang terjatuh daripada permainan pesta ria (funfair) 'Sotong Ride' di Puncak Alam pada Isnin, mengakui masih trauma.
Noraziera Zulkiffle, 31, dan adiknya, Shahfaraz Aiefan Zulkiffle, 11, masih tidak dapat melupakan peristiwa ngeri yang menghantui mereka hingga ke hari ini.
Noraziera berkata, masih terngiang-ngiang bunyi besi penghadang keselamatan daripada alat permainan itu tercabut yang menyebabkan dia dan adiknya terjatuh.
"Saya serik dan tidak mahu naik permainan itu sampai bila-bila, tetapi tetap bersyukur kerana saya dan adik bongsu masih dipanjangkan usia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching di sini pada Rabu.
Mengimbau kejadian itu, Noraziera yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Bandar Puncak Alam berkata, dia dan empat beradik serta suaminya tiba di tapak permainan pesta ria itu kira-kira jam 8.15 malam.
"Sebaik sampai saya terus membeli token dan sangat tertarik dengan permainan Sotong Ride dan kemudian terus menaiki permainan tersebut.
"Semasa permainan itu berpusing ke udara saya berasa teruja dan pada pusingan ketiga ia bergerak laju, namun sekelip mata besi penghadang keselamatan itu tiba-tiba patah.
"Keadaan itu menyebabkan saya dan adik terpelanting keluar daripada permainan hingga mengakibatkan kepala saya terhentak ke bawah dan kaki kiri bengkak, manakala muka adik saya berdarah dan mata kiri alami kecederaan," jelasnya.
Noraziera berkata, pada masa itu dia hanya mampu berdoa agar tidak mengalami kecederaan serius, manakala Shahfaraz Aiefan pula hanya meraung kesakitan.
"Kami dibawa ambulans ke Hospital Shah Alam dan menerima rawatan di sana selama sehari sebelum dibenarkan pulang pada Selasa.
"Sehingga kini, saya masih alami kesakitan di bahagian kepala dan kaki kiri, manakala adik masih belum dapat membuka mata kiri dengan sempurna," ujarnya.
"Kebetulan semasa saya ke IPD Kuala Selangor saya berjumpa dengan pihak penganjur dan dia ada memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi membincangkan hal tersebut," jelas Noraziera.
Sementara itu, ibu kepada dua beradik itu, Faizah Mat Sam, 52, berkata, keluarga masih meneruskan niat untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pihak penganjur.
Faizah berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan kecuaian pihak penganjur yang difahamkan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kami nekad untuk mengambil tindakan perundangan kerana bagi saya hal seperti ini serius lebih-lebih lagi melibatkan nyawa yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit," tambahnya.
Selain dua beradik itu, seorang pengunjung wanita yang menyaksikan permainan itu turut dilaporkan tercedera.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, keluarga dua beradik yang terjatuh daripada permainan pesta ria 'Sotong Ride' berhasrat mengambil tindakan undang-undang.
Dalam kejadian pada malam Isnin itu, Noraziera dan adiknya, Shahfaraz Aiefan mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada permainan berkenaan di Puncak Alam.
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini mengesahkan aktiviti hiburan pesta ria di Puncak Alam di sini tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada PBT.
Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati ia tidak lengkap.