SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan telah menyertai Muafakat Nasional (MN).
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi siaran di akaun Facebook rasmi miliknya pada Rabu.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut mengadakan pertemuan di pejabatnya.
"Terima kasih Datuk Zuraida Kamaruddin kerana sudi bertandang ke pejabat saya.
Pada Sabtu, permohonan untuk MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.
Sebelum ini, MN adalah gabungan UMNO dan Pas yang dimeterai pada 14 September 2019 sebagai kerjasama antara dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.
Bagaimanapun, usaha penyatuan ummah itu tidak kesampaian apabila UMNO enggan meneruskan kerjasama susulan tindakan Pas bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketika itu, Annuar antara pemimpin UMNO yang dilihat tidak bersetuju dengan pendirian parti menolak kerjasama itu.
Beliau juga tidak dipilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Selepas digugurkan, beliau mendedahkan telah mendaftarkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama MN dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 September 2019 dengan dirinya sebagai Presiden.
Annuar kemudiannya dipecat UMNO pada Jumaat lalu kerana dilihat suka mengkritik dan mencemuh tindakan parti sendiri.
Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah NGO yang diasaskannya.
Katanya, MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.